Pages

Thursday, June 25, 2015

Rezeki




Bismillah..

Mengimani hadis keempat dari Hadis 40 Imam Nawawi, ada empat perkara yang sudah tertulis bagi setiap kita. Dan tidak mungkin berubah selama-lamanya.

Amal.

Rezeki.

Ajal.

Bahagia atau Derita.

tetapi, hadis ini sangat perlu difahami dan dipelajari dengan sebaik-baiknya agar tidak timbul kesalahfahaman yang akhirnya menggugah aqidah kita sebagai seorang muslim.

Memahami hadis ini dengan benar seharusnya menjadikan kita orang yang lebih kuat berusaha dan bukannya hanya duduk menanti rezeki yang difahami akan datang seperti magis kepada kita.

Saya tidak ingin menghurai lebih lanjut tentang kesemuanya, cuma hanya mahu berbagi rasa tentang salah satu ketetapan dari empat ketetapan tersebut.

Bahawa rezekimu sama sekali sudah ditetapkan dan tidak akan pernah tertukar!

Harta itu rezeki.

Cemerlang akademik itu rezeki.

Kerjaya itu rezeki.

Jodoh itu rezeki.

Anak itu rezeki.

Kesihatan itu rezeki.

..

...

.....

Dan semua itu sudah siap dituliskan oleh Allah Azzawajalla tanpa terkurang dan cacat cela sedikitpun.


Seperti kata Ustaz Aa Gym dalam satu kuliahnya baru-baru ini, kita tidak tahu di mana rezeki kita berada, tetapi rezeki kita tahu di mana untuk mencari kita!

Bukankah hakikat itu menenangkan?

Mendamaikan setiap kegundahan dan persoalan rezeki?

Dan mungkin kita harus lebih belajar meneladani dari seorang Hasan Al-Basri, katanya, "Aku tahu rezekiku tidak akan di ambil orang, kerana itulah hatiku tenang, dan ku tahu amal tidak akan di kerjakan orang, kerana itu aku sibuk berjuang"

Tenanglah pada urusan Rabbmu..



Pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering

 [HR. at-Tirmidzi]

Saturday, June 20, 2015

Ramadhan: Antara Dua Kegembiraan




Bismillah..

Hari itu saya berpuasa sunat. Dan entah kenapa hari itu kelaparan saya luar biasa sekali. 
Beberapa kali juga saya menjenguk dapur, hanya sekadar mahu melihat makanan yang sedang dimasak. ahh..dan itu sudah memadai untuk menenangkan perut yang kelaparan.

Saat untuk berbuka, awal-awal lagi saya sudah duduk tersengih di hadapan makanan. Tak sabar-sabar mahu menunggu azan berkumandang. 

"Gembiranya tasyaa nak berbuka", kata seorang ukhti yang rupanya dari tadi melihat gelagat saya. "Mesti nanti waktu berjumpa Allah tasya gembira macam ni", sambungnya lagi.

Saya terpana mendengarnya.

Antara Dua Kegembiraan

Hari ini sudah masuk 3 Ramadhan.

Alangkah beruntungnya masih diberi kesempatan untuk melalui madrasah Ramadhan ini sekali lagi. 

Ada orang kegembiraannya pada Ramadhan seputar menghitung hari semakin dekat dengan Aidilfitri.

Ada yang lain, kegembiraannya kerana bisa menikmati juadah-juadah enak yang tidak mudah diperolehi pada hari-hari biasa

Ada juga orang, kegembiraannya kerana bisa solat tarawih dan melihat meriahnya masjid dipenuhi orang yang tidak pernah kelihatan sebelumnya..

Dan sungguh kita tidak bisa menafikan, antara kebahagiaan bagi orang yang berpuasa itu adalah saat ketika dia mahu berbuka. 

Tetapi hati ini, saya tiba-tiba teringat kata-kata seorang ukhti tersebut. Betapa bagi mereka yang benar-benar memaknai puasa mereka bukan hanya setakat menahan lapar dan dahaga, maka bagi mereka akan ada satu kegembiraan yang lain, yakni saat bertemu dengan Allah Azzawajalla suatu hari nanti.

للصائم فرحتان، فرحة عند فطره، وفرحة عند لقاء ربه

Bagi orang yang melaksanakan puasa ada dua kebahagiaan; kebahagiaan ketika berbuka, dan kebahagiaan ketika bertemu dengan Rabbnya.” (Muttafaqun Alaih)


Ya Allah..

Bantu kami untuk menempuhi Ramadhan kali ini dengan sebaik-baiknya agar Ramadhan kali ini bisa lebih baik dari sebelumnya..

Allahumma Ameen! :')



Friday, June 19, 2015

Menjadi Diri Sendiri Di Jalan Dakwah




Bismillah..

Selalu sangat orang sebut, 'jadilah diri sendiri', 'just be yourself' dan macam-macam lagi lah yang sama erti dengannya.

Selalu, yang menggunakan kata-kata ini biasanya untuk memenangkan diri sendiri atau memberitahu orang lain bahawa 'aku dengan cara aku, engkau dengan cara engkau'. Tetapi, buat mereka yang menapaki jalan dakwah dan tarbiyah, adakah kata-kata ini wajar di jadikan alasan untuk memenangkan prinsip diri?

Saya teringat kisah Wahsyi, saat dia berjaya membunuh Saidina Hamzah r.a di medan Uhud, dia di bebaskan oleh Hindun sebagai balasan atas kejayaannya membunuh Hamzah. Wahsyi gembira bukan kepalang, impiannya selama ini menjadi kenyataan. Dia sudah bebas. Dia bukanlah seorang Hamba lagi. Lantas hari pertama itu dia menukar pakaiannya, supaya kelihatan sama seperti penduduk Mekah yang lain, dia bergegas ke tempat perkumpulan ketua-ketua musyrikin Mekah saat itu untuk menampakkan dirinya sebagai seorang pahlawan yang sudah berjaya membunuh Saidina Hamzah. Wahsyi mengimpikan dirinya diangkat seperti wira, namun apa yang dia temukan? Nyata ketua-ketua Quraisy itu masih menganggapnya seperti seorang budak, kata-katanya tidak langsung di dengari. Dia tidak mampu menjadi dirinya sendiri sebagai seorang yang merdeka. Dia masih dipandang sebagai seorang hamba. 

Di sisi yang lain, kita menemukan Bilal bin Rabah r.a. Dahulu dia juga seorang hamba seperti Wahsyi, namun cerita keduanya jauh berbeza. Bilal 'merdeka' dengan mahar keislaman, dan dengan itu dia diangkat mulia sebaris dengan nama-nama besar kota Mekah seperti Abu Bakar r.a, Musab bin Umair r.a, Uthman bin Affan r.a dan ramai lagi. Kesemua mereka mencintai Bilal, tanpa ada sedikitpun perasaan merasa lebih baik dari dia yang dahulunya seorang hamba. 
Jika tidak, masakan kita bertemu kisah Abu Dzar yang sanggup meminta Bilal memijak kepalanya hanya kerana gurauannya yang memanggil Bilal dengan nama anak si budak hitam?

Allah Redha Kepada Mereka..

Di jalan dakwah dan tarbiyah ini,
Kita menemukan para sahabat terdahulu yang tidak memilih untuk menjadi diri mereka sendiri,
Jikalau lah Abu Bakar, Umar, Utsman, itu semua memilih untuk menjadi diri mereka, nescaya mereka tidak akan mahu berdiri bersebelahan dengan si budak hitam seperti Bilal. Kerana apalah yang ada pada seorang hamba jika di bandingkan dengan status mereka sebagai orang kenamaan di kota Mekah saat itu.

Tetapi para sahabat ketika itu semua tahu, bahawa cahaya islam yang datang mahu membersihkan diri mereka daripada jahiliyah selama ini, lantas mereka merendahkan diri mereka serendah-rendahkan untuk dibasuh dengan limpahan iman dan tarbiyah. Mereka tidak memilih untuk menjadi apa yang mereka suka, tetapi mereka memilih untuk menjadi seperti apa yang Allah mahu dari mereka. Dan kerna itulah kita mengenang mereka hari ini sebagai generasi Al-Quran yang unik, generasi terbaik yang tidak akan kita temukan lagi di perjalanan sejarah kehidupan dunia. 

Betapa saya takjub dengan kisah antara Khalid Al-Walid r.a dan Umar Al-Khattab r.a, ketika Umar melucutkan jawatan panglima perang yang dipangku Khalid untuk diganti dengan Abu Ubaidah r.a, Khalid Al-Walid menerima berita itu dengan lapang dada bahkan tetap bersemangat dan melaju di medan perang dengan mengatakan bahawa apa yang dilakukannya hanyalah untuk Allah semata-mata. Dan Umar sendiri jauh di sudut hati memberitahu bahawa beliau sama sekali tidak ragu-ragu akan kehebatan Khalid tetapi membuat keputusan itu untuk kebaikan kaum muslimin seluruhnya. 
Keduanya membuktikan bahawa cahaya Allah itu benar-benar sudah meresap ke dalam ruh dan jiwa mereka. Mereka adalah antara sahabat yang paling tegas dengan prinsip dan keputusan mereka, namun mereka berjaya menunjukkan teladan yang jauh lebih hebat dengan menunjukkan bahawa celupan Allah itulah yang akhirnya membentuk peribadi dan prinsip mereka selama ini.

Dan kita,
Di jalan dakwah dan tarbiyah ini,
Kita juga mengimpikan perkara yang sama,
Agar celupan iman dan tarbiyah ini akhirnya mampu menjadikan kita manusia yang sama seperti mereka, mereka yang di akhir namanya kita sebutkan dengan 'radhiallahu anhu' yang bermaksud 'Semoga Allah redha padanya'.. 

Allah redha kepada mereka,
Kerna mereka hidup dengan sibghah Allah..
Sehingga akhirnya walau siapa dan apa sahaja latar belakang para sahabat itu, kita akhirnya tetap akan menemukan suatu persamaan yang didasari oleh aqidah yang mantap kepada Allah swt..

Buat diri sendiri dan sesiapa saja yang membaca,
Ingatlah, biar siapapun kita di saat jahiliyah,
Marilah kita buktikan bahawa kita bukan lagi mahu menjadi diri kita sendiri, bahkan yang kita mahu itu adalah agar Allah redha kepada kita dengan menjadi apa yang Allah mahu kita jadi! 

صبغة الله ۖ ومن أحسن من الله صبغة ۖ ونحن له عابدون

"Shibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya dari pada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah."

[Quran 2:138]