Pages

Wednesday, August 28, 2013

tanpa.tajuk.

mampukah terus bernafas..

Wednesday, August 14, 2013

Di sana ada syurga..





Seorang anak kecil baru saja belajar berpuasa. Nyata hari pertamanya itu sangat melelahkan. Seawal pukul 10 pagi, anak itu sudah mengadu kepada si ibu.

"Saya dahaga lah ibu, boleh tak saya nak buka puasa?" soal si anak penuh mengharap

"Eh, cepatnya nak berbuka. kan baru pukul 10 pagi, sabar lah dulu. pagi tadi dah sahur kan,"pujuk si ibu penuh kasih.

Si anak terdiam. 

Pukul 1 tengahari, si anak kembali mendapatkan si ibu. 

"Ibu, saya lapar dan dahaga lah sekarang. Boleh tak saya nak berbuka puasa?" soal si anak lagi sambil memegang tangan ibunya memohon agar ibu kan mengerti perasaannya.

"Alahai..dah pukul 1 ni. beberapa jam lagi yang tinggal kan.. rugilah kalau nak berbuka dah" ujar si ibu sambil mengusap rambut anaknya.

Si anak mengeluh perlahan sambil melangkah pergi ke ruang tamu. memegang perutnya yang berbunyi dari tadi. Aduhai.. lambatnya masa berlalu. 

Pukul 5 petang, si anak datang semula kepada ibunya sambil berkata, "Berapa jam lagi sebelum berbuka bu? saya lapar sangat ni.." 

Si ibu tersenyum. Dihulurkan sekeping duit kertas berwarna hijau. "sabarlah sayang. sikit je lagi nak berbuka ni. nah ambil duit ni, beli ape je yang adik nak kat bazar nanti" ujar si ibu sambil memandang wajah anaknya. 

Si anak tersenyum. Difikirannya terbayang air tebu yang menjadi kegemaran nya nanti akan dapat diminum saat berbuka. Serta merta wajah si anak bertukar ceria.

"Sabar tau.." bisik ibu sambil tersenyum. 

***********************

1 Syawal 

Saya bersiap-siap untuk pergi bersolat sunat hari raya dengan perasaan yang bercampur baur
Antara harapan dan impian
Antara kegembiraan dan kesayuan
Berakhirnya Ramadhan adakah di akhirnya mendapat taqwa?
Datangnya Syawal adakah layak untuk terlalu gembira?

Dan.. entah kenapa pagi itu emak membuka radio yang jarang sekali saya ambil perhatian setiap butir bicara di dalamnya
Ada tazkirah yang menyentak perasaan
Menjawab setiap persoalan yang menghantui fikiran..

Suara tanpa wajah itu menumpahkan air mata saya yang mendengar dan empunya suara
Bercerita mengenai hakikat kemenangan insan
Tentang sunnah perjuangan sebuah kehidupan..

*************

Kata ustaz
Hidup ini adalah tentang siapakah yang paling bersabar 
Bersabar dalam ketaatan
Bersabar menjauhi kemaksiatan.
Bersabar menempuhi segala ujian tuhan..

Betapa sering kita mengadu pada tuhan tentang peritnya kehidupan yang kita hadapi,
tentang beratnya ujian yang datang sedang kita merasa kita tidak mampu untuk menghadapinya.

Tetapi sungguh Allah lebih tahu 
Dan Allah terus meletakkan kita di dalam setiap episod kehidupan ini 
Kerana Allah mahu kita mendapatkan syurga yang bukan murah maharnya..

Dan kita seperti anak kecil itu
Sering mengadu lelah kita, ketidakmampuan kita..
Maka Allah memujuk kita untuk terus SABAR sehingga ke akhirnya
Dengan menceritakan perihal syurga buat kita
Agar hati yang tidak sabar bisa tenang
Agar hati semakin kuat percaya dengan baik sangka padaNya..

Seperti anak kecil yang dipujuk dengan kasih sayang seorang ibu
Begitu juga pujukan dari tuhan buat mereka-mereka yang mengadu kepadaNya..

“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (Az-Zumar:10)

Pahala tanpa batas yang dijanji
Pahala seluas langit dan bumi
Maka, adakah itu tidak cukup menggembirakan kita lagi?

....

"Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepada kalian, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah:155)

Sungguh, saya mengerti bahawa sabar itu bukan semudah mengungkapkannya
Sedang pula ujian kita berbeza-beza, yang mana jauh sekali kita untuk memahaminya sedang diri kita pernah merasa ujian yang sama
Kerana itu, kita tidak layak menilai orang lain dengan sabar mereka
Boleh jadi ujian dia di mata kita tampak remeh sekali, sedangkan pada dia ujian itu sangat berat untuk dia hadapi, maka jangan sesekali kita meremehkan, kerana kita tak berada ditempatnya. Kerna kita tidak memahami betapa dia sangat bermujahadah melawan bisikan hawa'.
Tetapi teruslah berdoa akan kesabaran untuk dirinya, moga Allah ganjari kesabarannya dan menguatkan dirinya untuk terus bersabar.
Itu jauh lebih baik dari kata-kata yang menyakiti, jauh lebih mulia dari pandangan mata yang memperkecil dan menjatuhkan nilai manusiawi. 

Tetapi
Walaupun ujian kita berbeza-beza
Namun pesan tuhan ini nyata untuk kita semua

“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kalian agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar diantara kalian.” (Muhammad:31)

Ketahuilah
Dunia ini memang tempat untuk menguji siapakah di antara kita yang paling bersabar dalam menempuhinya

Mujahadahlah dalam ketaatan
Lawanlah segala bisikan yang menjauhkanmu dari tuhan..

******

Hati. 
Bersabarlah.
Di sana ada syurga yang dijanjikan buat mereka yang sabar..