Pages

Monday, September 22, 2014

Kenapa abang rogol adik?




Bismillah..

Terbaca satu berita pasal masalah sosial kat Malaysia. Nak dijadikan cerita, hampir semua berita yang dipaparkan kat page tu berkaitan masalah sosial yang sama. 

Hati rasa sebal. Saya tak nak bercerita pasal orang bercouple kemudian mengaku berzina tanpa sengaja, atau cerita orang terjumpa mayat bayi tepi semak atau dalam longkang. tetapi tajuk berita ini lebih sebal dari itu 'and i cannot brain that' .Memang pernah terbaca mengenai berita begini sebelum ini, tetapi melihat lambakan berita dengan tajuk yang sama, saya terasa seperti mahu pitam. Sebanyak inikah?  

Seorang ayah didakwa merogol anak sendiri

Abang disyaki merogol adik kandung

Adik beradik mengaku berzina selama setahun

Allahu Allah.. sungguh rasa tak sanggup nak menulis walaupun sekadar tajuk. belum lagi menceritakan bibit-bibit maksiat yang pada saya sangat menjelekkan ini. 

Macam mana boleh tergamak nak berzina dengan adik kandung sendiri? Bukan sekali dua tetapi ada kes yang mana mereka sudah memulainya semenjak sekolah dan ia terus berlaku bertahun-tahun lamanya. 

Macam mana seorang abang boleh tergamak memandang adik kandungnya dengan perasaan yang sungguh biadap ini?

Bagaimanakah seorang ayah yang menjaga darah dagingnya dari kecil akhirnya sanggup merosakkan kehidupan anak kandungnya sendiri? 

Allah. Allah.. peritnya realiti hari ini.

Dan realiti itu bertambah perit bilamana kita tahu ia mungkin tak jauh dari kita. Ia penyakit yang membarah di dalam masyarakat kita. Tapi kenapa? Bagaimana seorang ayah dan abang boleh sebegitu tegar mendurhakai Allah sehingga ke tahap tidak mengira sesiapa lagi untuk dia melempiaskan nafsunya? Saya teringat hadis nabi tatkala seorang lelaki berjumpa Rasulullah untuk bertanyakan bagaimana dia mahu menahan nafsunya dari berzina, dan nabi bertanya padanya sama ada adakah dia sanggup ibunya atau saudara perempuannya berzina dengan lelaki lain. Maka lelaki itu berkata bahawa dia tidak sanggup! Nahhh.. seorang lelaki yang memang mencari-cari peluang untuk berzina pun tidak sanggup untuk membayangkan ibunya atau saudara perempuannya menjadi korban zina. tetapi hari ini kita duduk di dalam satu masyarakat yang sudah gila untuk hilang semua perasaan itu, mereka mahu berzina dan akan melakukannya tanpa mengira siapakah yang menjadi mangsa nafsu mereka!

Allah.. Allah.. 

Saya punya ayah. Saya juga punya adik lelaki. Dan memandang mereka dengan perasaan 'itu ayah aku, itu adik aku'.

perasaan seorang anak. perasaan seorang kakak. saya benar-benar tak mampu memahaminya. 

Kenapa ada manusia yang juga seorang ayah, seorang abang, seorang kakak boleh bertindak sehingga ke tahap ini?

Kerna Yang Memulainya..

Hari itu saya menaiki kereta, di dalamnya terpasang radio IKIM yang mana ketika itu ada slot bersama seorang ustaz yang maaf, saya tidak ingat namanya. Yang saya ingat, Tajuk pada hari itu adalah berkaitan perkahwinan. Dan saya tertarik dengan setiap isi dan huraian yang diberikan. Dan salah satu isi yang dibincangkan adalah mengenai persoalan saya selama ini, tentang kenapa dan bagaimana seorang ayah atau saudara kandung sendiri boleh tergamak melempiaskan nafsu pada anak atau saudara kandungnya. 

Bukankah Allah sudah berpesan di dalam surah Al-Isra' ayat 32 tentang wajibnya menjauhi apa sahaja jalan yang mendekatkan diri kepada zina. 

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

ولا تقربوا الزنا ۖ إنه كان فاحشة وساء سبيلا

[Quran 17:32]

Bukan Allah suruh jangan berzina sahaja, tetapi apa sahaja jalan yang mendekatkan diri kepadanya wajib dijauhi sejauh-jauhnya. Kerana apa? Kerana Allah tahu, malapetaka buat mereka yang mendurhakai perintah itu bukan akan terhenti apabila mereka sudah berkahwin tetapi akan terus menjadi bala sepanjang keturunannya. 

Bukankah Allah sendiri menjanjikan bahawa pernikahan itu adalah untuk menjaga keturunan, tetapi apabila ada ayah yang tergamak merogol anaknya sendiri, itu bukan lagi menjaga keturunan, bahkan memusnahkan seluruh keturunan. jadi, adakah Allah tidak menepati janjinya?

Allah menepati janjiNya, tetapi manusia sendiri yang durhaka dan tidak mahu taat pada perintah Allah.

Ngeri membayangkan betapa ramai orang di luar sana yang cuba menutup kehamilan luar nikah dengan berkahwin. Ya, mereka berkahwin, tetapi di saat mereka berkahwin, mereka sudah terlebih dahulu berzina dan lebih memedihkan adalah wanita itu sudah mengandung terlebih dahulu! 

Allahu Allah.. mereka cuba menipu manusia yang lainnya. tetapi mereka tidak akan mampu menipu Allah Yang Maha Melihat segala-galanya! 

Dan akhirnya, anak yang lahir itu.. bukanlah anak yang lahir di saat mereka sudah halal bersama. Dan itulah yang akan membezakan segala-galanya! tentang di manakah hilangnya perasaan kasih seorang ayah saat menatap anak-anaknya. tentang bagaimana seorang abang boleh melempiaskan nafsu dengan adik perempuannya dan mereka langsung tidak merasa apa-apa. 

Astaghfirullah. Astaghfirullah.. 

Dan kalaupun wanita itu tidak hamil sebelum pernikahan, memulai sebuah perhubungan dengan bermaksiat kepada Allah walaupun dengan hanya pandangan mata yang berzina sudah cukup untuk menghalang barakahnya sebuah pernikahan itu. 

Yang mengundang murka Allah sedari awal, mana mungkin diredhai langkah selepasnya.

Bertaubatlah wahai insan!

Selamatkanlah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka yang menjulang-julang!






2 orang yang dikasihi Allah..:

Anonymous said...

hai taca ^^

anony mous said...

Hai... anon

Post a Comment