Pages

Tuesday, October 29, 2013

Raheeq Al-A'la!




Saya tidak tahu makna keseluruhan nasheed ini
Tapi yang saya tahu dia sedang menceritakan tentang keindahan syurga
dan siapa di antara kita yang layak berada di dalamnya..

***

Siapa yang lebih banyak bekerja untuk syurga
Maka dialah yang lebih layak mendapatkannya..
Siapa yang masih teragak-agak untuk mendapatkannya,
maka dialah yang rugi dalam perlumbaan ini..

***

Ini adalah perdagangan yang tidak akan rugi selama-lamanya
Berjual-beli dengan Allah untuk kebaikan diri sendiri..
Apakah yang lebih baik daripada ini?


:')



Saturday, October 26, 2013

Ini benar-benar sebuah contengan


Perpustakaan Sultanah Zanariah, UTM Skudai
6.54pm
Sedang menunggu untuk dihalau keluar dari bilik bacaan
Berpakaian serba ungu dari atas ke bawah, dan baru sedar yang agak melampau bilamana semua set pakaian, beg, cover tab adalah dari warna yang sama.

Mata berpinar-pinar. menghadap laptop berjam-jam lamanya.
Dan timbunan kertas tu masih menggunung lagi untuk diselesaikan.
Haih. Rasa nak ketuk kepala kat meja ni.
Pengurusan masa untuk sem ni sungguh gagal. padahal sem inilah yang paling kritikal sekali.
Mencongak-congak semuanya di dalam kepala, OMG! minggu depan sudah minggu ke lapan dalam taqwim akademik UTM..

*bunyi cengkerik bersahut-sahutan*

Sudahlah.
Mari bertenang dan selesaikan satu-satu.
Muslim itukan tersusun urusannya? T_T
*****

Kejap.
Tiba-tiba teringat pesan murobbi
katanya..

"Dakwah memang no satu, tetapi study bukan no dua.."

Dah azan. Bai!

*jangan nangeh

Thursday, October 17, 2013

Semuanya milik Dia!




Bismillah..

kita memang tidak akan pernah jangka pun apa yang tuhan sudah sediakan untuk kita di hadapan sana
Yang kita tahu, pada kita ada usaha untuk berbuat sebaiknya
Dan apa sahaja yang tuhan hadirkan selepas itu akan kita terima dengan penuh redha dan baik sangka..

Teringat pesan ustaz
bahawa perkara baik yang ada di dalam hidup ini hanya ada dua
Pertama, perkara yang sudah di syariatkan oleh tuhan buat manusia.
contohnya seperti kenapa kena menutup aurat, kenapa tidak boleh minum arak, kenapa wajib menjauhi zina.. itu semua tidak perlu kita persoalkan kenapa, kerana itu adalah kebaikan buat kita sebenarnya. 
tanpa perlu kita buat kajian sains pun ataupun melihat dahulu kesan akibat mengingkari arahan tuhan itu kita akan tahu, "ohhh.. patutlah tuhan suruh jauhi benda ni"

Dan kedua, perkara baik itu adalah apa yang telah pun terjadi pada kita.
Contoh mudah, bilamana kita demam. mungkinlah waktu itu kita tidak dapat mencari hikmah demam itu kerana yang kita rasai hanyalah kesakitan yang menjadikan kita ini serba serbi tidak berdaya, tetapi percayalah bahawa demam ketika itu ketetapan yang terbaik dari tuhan buat diri kita.

Kafarah dosa?
Mendidik sabar?

Ah. berikanlah apa saja alasan yang baik. 
Yang pastinya, itu adalah sesuatu yang terbaik buat diri kita pada waktu itu!

Contoh lain, kenapalah adik binaan kita semuanya tidak menjadi. Dah bermacam-macam cara kita buat pun masih tidak nampak tanda mahu melekat dengan tarbiyah yang kita bawa. 
Dan setelah setahun berhempas-pulas, akhirnya kita terima mesej.. "Akak, saya dah tidak mahu ikut usrah yang akak bawa. Saya rasa saya ada cara hidup saya sendiri, saya tak mahu dah menjadi hipokrit lagi.."

...
.....

Tarik nafas panjang.
ini kisah benar yang akan dirasai oleh setiap da'ei
kita akan merasa ditolak, merasa ditentang walaupun apa yang kita tawarkan ini jauh lebih baik berbanding seisi langit dan bumi

mungkinlah pada waktu itu kita rasa macam langit ni nak runtuh, tapi percayalah bahawa itu adalah perkara terbaik yang tuhan telah tetapkan pada waktu itu..
Walaupun mungkin kita tidak nampak hikmahnya pada saat itu, tapi percayalah bahawa taqdir tuhan itu tidak pernah mahu menganayai hambaNya.

Jika kita tidak berjaya menemui hikmah dari ujian itu, maka itu bukanlah kerana tuhan mahu menzalimi kita, tetapi itu adalah kerana kita sendiri tidak mahu mencari.
kerana kekurangan kita masih banyak lagi kita tidak mampu melihat seribu lagi kebaikan dari satu ujian yang kita terima.

"Demikian itu disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri. Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak menganiaya hamba-Nya" (Suruh Yunus: 44)

sebab selalu kita merasakan, bahawa tanda tuhan sayang pada kita adalah dengan memberi apa yang kita mahu. 

"Adapun manusia apabila Rabbnya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: ‘Rabbku telah memuliakanku.’ Adapun bila Rabbnya mengujinya lalu membatasi rizkinya maka dia berkata: ‘Rabbku telah menghinakanku’.” (Al-Fajr: 15-16)

kita mahu serba serbi sempurna, kita mahu segala yang menjadi kemahuan nafsu kita.
sedangkan Allah itu bahkan lebih lagi tahu, apa yang kita perlu melebihi apa yang kita mahu, maka yang kita perlukan itulah yang Allah beri, walaupun kadang kita terasa seperti kita tak mampu menanggungnya. 

Sebab itu jugalah, Allah memang akan uji kita pada titik lemah kita, sehingga apa?
sehingga perkara itu tidak menjadi titik lemah kita lagi. kerana Allah mahu hati kita ini bulat tulus hanya kepada Dia. 
hanya pada Allah semata-mata..

***

Entah apa yang menanti di hadapan ini
Kita akan lelah dalam meneka-neka
Berhentilah dari lamunan yang memenatkan. 
Bukan sahaja manusia yang memandang akan menjadi rimas, tetapi diri kita juga akan jauh dari baik sangka pada Dia
kita akan selalu ragu-ragu dengan apa yang akan terjadi di hadapan sana, sedangkan hakikatnya kita tidak akan mampu pun mengubah apa yang telah Allah tetapkan buat kita pada masa akan datang

Tetaplah berjalan dan susunlah kehidupan ini dengan sebaik apa yang mampu kita lakukan.

Bukankah pena telah di angkat dan lembaran sudah pun kering?







Tuesday, October 15, 2013

salam eidul adha :)

terasa mahu menulis panjang-panjang.
rindu sangat sebenarnya.
tapi biasalah, at the end tulisan itu akn terhenti di pertengahan.
kemudian saya sorokkan di dalam draft. 
bukak semula tiga bulan selepasnya. haih.

entah apa-apa lah cik tasya.
mungkin saat ni sebenarnya nak sangat kongsikan perasaan eidul adha ni.
tapi macam tak terluah la pulak. haih again.

mungkin cukup dengan ucapan ini.
kullu am wa antum bikheir.
moga semakin bertambah cinta kita pada Dia.
makin kuat usaha kita mengejar syurga.
makin besar hati kita mendamba kehidupan abadi selamanya.. :)

Tuesday, September 24, 2013

Bukan Cinderella






Bismillah..

Impian dan harapan dalam kehidupan ni memang lah banyak
Kalau nak senaraikan satu persatu makanya memang tidak akan habis la entry ni
Dek kerana banyak nya impian. sama ada pada masa kini atau akan datang.

Tapi..
Sungguhlah yang kita ini bukan hidup dalam angan-angan semata
Melainkan segalanya adalah realiti yang perlu disandarkan kepada Yang Maha Esa
Bukan macam cerita cinderella yang selalu di sebut-sebut di telinga ni waktu kecik-kecik dahulu
Hidup cinderella hanyalah untuk berjuang mendapatkan lelaki idaman sang putera raja
Ironi. Realiti kehidupan bukan begitu.
Apatah lagi menyangka bahawa itulah kebahagiaan yang sebenar-benarnya.
 

Kehidupan kerana Tuhan

Dan dan menjadi final year student ni
makanya memang tidak dapat lari dari memikirkan kehidupan sesudah tamat pengajian nanti
Tambah pula semakin kerap pula mendengar usikan-usikan yang datang entah dari mana
membuat diri kadang terasa ingin menumpahkan air mata, adakah hanya itu impian diri sebenarnya?

Memandang ke sudut kanan di blog ini
Betapa kata-kata itu sungguh saya mahu ia disematkan di dalam hati yang paling dalam
dan menjadi alasan kepada setiap amal yang saya lakukan..

Agar setiap keputusan kehidupan ini adalah kerana tuhan. untuk tuhan dan demi mencapai keredhaanNya sentiasa.
Biarlah kadangkala keputusan itu tampak bertentangan dengan kemahuan diri, kerana jika akhirnya kita meyakini bahawa hidup ini adalah untuk tuhan, maka hanya tuhanlah yang paling berhak untuk kita jadikan alasan bagi setiap persoalan kehidupan.

"Dan segala-galanya dari kehidupan ini hanyalah untuk Allah.. Ku mahu menjadi DAEI.

sentiasa dan selamanya.. 
Kerna hanya dengan itu sajalah, aku merasakan diriku mampu hidup dan bernyawa.."

Ala kulli hal..
mari berdoa agar Allah kurniakan hati yang tenang dan tabah dalam setiap urusan kehidupan kita
Kerana Allah tidak akan memberi sesuatu kepada hambaNya ini, melainkan ia adalah kebaikan semata-mata..
Wamakaru wamakarallah wallahu khairulmakirin..



"Mereka merancang ,Allah juga merancang ,Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang" (3:54)







*harap-harap tiada lagi yang mengusik lagi dengan soalan pelik-pelik selepas ni :P



Wednesday, August 28, 2013

tanpa.tajuk.

mampukah terus bernafas..

Wednesday, August 14, 2013

Di sana ada syurga..





Seorang anak kecil baru saja belajar berpuasa. Nyata hari pertamanya itu sangat melelahkan. Seawal pukul 10 pagi, anak itu sudah mengadu kepada si ibu.

"Saya dahaga lah ibu, boleh tak saya nak buka puasa?" soal si anak penuh mengharap

"Eh, cepatnya nak berbuka. kan baru pukul 10 pagi, sabar lah dulu. pagi tadi dah sahur kan,"pujuk si ibu penuh kasih.

Si anak terdiam. 

Pukul 1 tengahari, si anak kembali mendapatkan si ibu. 

"Ibu, saya lapar dan dahaga lah sekarang. Boleh tak saya nak berbuka puasa?" soal si anak lagi sambil memegang tangan ibunya memohon agar ibu kan mengerti perasaannya.

"Alahai..dah pukul 1 ni. beberapa jam lagi yang tinggal kan.. rugilah kalau nak berbuka dah" ujar si ibu sambil mengusap rambut anaknya.

Si anak mengeluh perlahan sambil melangkah pergi ke ruang tamu. memegang perutnya yang berbunyi dari tadi. Aduhai.. lambatnya masa berlalu. 

Pukul 5 petang, si anak datang semula kepada ibunya sambil berkata, "Berapa jam lagi sebelum berbuka bu? saya lapar sangat ni.." 

Si ibu tersenyum. Dihulurkan sekeping duit kertas berwarna hijau. "sabarlah sayang. sikit je lagi nak berbuka ni. nah ambil duit ni, beli ape je yang adik nak kat bazar nanti" ujar si ibu sambil memandang wajah anaknya. 

Si anak tersenyum. Difikirannya terbayang air tebu yang menjadi kegemaran nya nanti akan dapat diminum saat berbuka. Serta merta wajah si anak bertukar ceria.

"Sabar tau.." bisik ibu sambil tersenyum. 

***********************

1 Syawal 

Saya bersiap-siap untuk pergi bersolat sunat hari raya dengan perasaan yang bercampur baur
Antara harapan dan impian
Antara kegembiraan dan kesayuan
Berakhirnya Ramadhan adakah di akhirnya mendapat taqwa?
Datangnya Syawal adakah layak untuk terlalu gembira?

Dan.. entah kenapa pagi itu emak membuka radio yang jarang sekali saya ambil perhatian setiap butir bicara di dalamnya
Ada tazkirah yang menyentak perasaan
Menjawab setiap persoalan yang menghantui fikiran..

Suara tanpa wajah itu menumpahkan air mata saya yang mendengar dan empunya suara
Bercerita mengenai hakikat kemenangan insan
Tentang sunnah perjuangan sebuah kehidupan..

*************

Kata ustaz
Hidup ini adalah tentang siapakah yang paling bersabar 
Bersabar dalam ketaatan
Bersabar menjauhi kemaksiatan.
Bersabar menempuhi segala ujian tuhan..

Betapa sering kita mengadu pada tuhan tentang peritnya kehidupan yang kita hadapi,
tentang beratnya ujian yang datang sedang kita merasa kita tidak mampu untuk menghadapinya.

Tetapi sungguh Allah lebih tahu 
Dan Allah terus meletakkan kita di dalam setiap episod kehidupan ini 
Kerana Allah mahu kita mendapatkan syurga yang bukan murah maharnya..

Dan kita seperti anak kecil itu
Sering mengadu lelah kita, ketidakmampuan kita..
Maka Allah memujuk kita untuk terus SABAR sehingga ke akhirnya
Dengan menceritakan perihal syurga buat kita
Agar hati yang tidak sabar bisa tenang
Agar hati semakin kuat percaya dengan baik sangka padaNya..

Seperti anak kecil yang dipujuk dengan kasih sayang seorang ibu
Begitu juga pujukan dari tuhan buat mereka-mereka yang mengadu kepadaNya..

“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (Az-Zumar:10)

Pahala tanpa batas yang dijanji
Pahala seluas langit dan bumi
Maka, adakah itu tidak cukup menggembirakan kita lagi?

....

"Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepada kalian, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah:155)

Sungguh, saya mengerti bahawa sabar itu bukan semudah mengungkapkannya
Sedang pula ujian kita berbeza-beza, yang mana jauh sekali kita untuk memahaminya sedang diri kita pernah merasa ujian yang sama
Kerana itu, kita tidak layak menilai orang lain dengan sabar mereka
Boleh jadi ujian dia di mata kita tampak remeh sekali, sedangkan pada dia ujian itu sangat berat untuk dia hadapi, maka jangan sesekali kita meremehkan, kerana kita tak berada ditempatnya. Kerna kita tidak memahami betapa dia sangat bermujahadah melawan bisikan hawa'.
Tetapi teruslah berdoa akan kesabaran untuk dirinya, moga Allah ganjari kesabarannya dan menguatkan dirinya untuk terus bersabar.
Itu jauh lebih baik dari kata-kata yang menyakiti, jauh lebih mulia dari pandangan mata yang memperkecil dan menjatuhkan nilai manusiawi. 

Tetapi
Walaupun ujian kita berbeza-beza
Namun pesan tuhan ini nyata untuk kita semua

“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kalian agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar diantara kalian.” (Muhammad:31)

Ketahuilah
Dunia ini memang tempat untuk menguji siapakah di antara kita yang paling bersabar dalam menempuhinya

Mujahadahlah dalam ketaatan
Lawanlah segala bisikan yang menjauhkanmu dari tuhan..

******

Hati. 
Bersabarlah.
Di sana ada syurga yang dijanjikan buat mereka yang sabar.. 







Tuesday, July 30, 2013

Hari-hari terakhir Ramadhan..


Bismillah..

pejam celik hari ni dah 21 Ramadhan, alhamdulillah di atas kurniaanNya dan rahmat kasih sayangNya kerana masih memanjangkan umur kita, agar bisa meraih keampunan dan memperbaiki diri.. sungguh, nikmat tuhanmu yang manakah hendak kamu dustakan? 

Memuhasabah diri ini dan hari2 yg berlalu dlm Ramadhan kali ini, apa yang telah berubah pada diri kita?
Mata kita? Masih lihat perkara haram kah? atau pandangan kita kali ini sudah mampu menundukkan al-hawa'?
mulut kita ? Masih ada ghibah kah? Atau sudah kita basahkan ia dengan alunan zikir memuji tuhan tanpa henti?
telinga kita? masih suka mendengar perkara lalaikah? Atau hari ini kita lebih damai mendengar alunan kalamullah saat berjalan keluar?
hati kita? adakah semakin dekat dengan tuhan? 
perasaan kita? adakah sudah bisa mencapai perasaan tersungkur sujud kerana mendengar firman tuhan tu?
tilawah kita? adakah sudah mencapai kemuncak perasaan dlm menghayati setiap perkataanNya? 

dan semua itu..
sangat harus kita muhasabahkan..
bukan hanya sekadar muhasabah yg mendiamkan diri
tapi membuah amal yg lebih baik dari sebelumnya..

jika Ramadhan kali ni tidak mampu merubah diri kita
maka jangan mimpi 11 bulan akan datang kita akan lebih baik dari kali ni
kerana, Ramadhan ini bulan tarbiyah
bulan yg mana orang beriman tu berlumba2 utk mendekat dengan Sang Pencipta..

Ya.. kita bukan hamba Ramadhan 
Kita adalah hamba tuhan..
tapi  saya percaya, kita Ramadhan yg padanya ada tarbiyah dan rahmat keampunan yg melimpah ruah ini pun tidak mampu kita manfaatkan, maka jauh sekali utk kita bermimpi menjadi lebih baik pada bulan2 mendatang..

Allahumma innaka affuwun Kareem..tuhibbul afwa fa'fu anna..
moga doa ini terus menerus meniti di bibir kita..
sentiasa.. setiap masa..

*****

Setahun dua ni, saya benar-benar tidak punya RASA untuk buat aktiviti kesukaan kaum perempuan menjelang raya
Bahkan saya kira sungguh kasihan sekali melihat wanita-wanita yang menghabiskan akhir2 Ramadhan ini dengan seharian di shopping complex ataupun bersesak2 meredah lautan manusia di Jalan TAR..
Alangkah rugi.. 
Sedang masa ini mungkin tidak akan menjadi milik kita lagi..

Sembilan hari lagi..
La 'allakum tattaqun!


Monday, July 22, 2013

Ya Rasulullah..


Bismillah..


1.31 am

Rumah Tuhan

mata masih tak boleh lelap

pejam celik, pejam celik..
tapi, pagi nanti kan nak kena bangun awal
paksa lagi mata. pejam..pejamm.. pejammmm..
tinggg.. 0_o
ok, nampak sangat tak boleh nak paksa dah =.=

baiklah.

disebabkan nak tunggu mengantuk
meh nak share sikit time tadabbur quran tadi..

belek punya belek.

ternampak ayat ni, ayat hafazan masa tingkatan lima tak silap

begini bunyinya..



"Sungguh, telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya
 penderitaan yang kamu alami, (dia) sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan
bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang yang beriman. Maka jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah (Muhammad), "Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arsy (singgasana) yang agung.”

(surah at-taubah: 128-129)

Syahdu pulak bila hayati setiap patah perkataan ayat ni.
Betapa Ar-Rasul itu sangat kasih sebenarnya pada kita.

Terkenang segala macam kisah kehidupan baginda
Segala penderitaan, pengorbanan dan segala macam ujian yang baginda hadapi untuk 
menyampaikan islam tu..
Kalaulah baginda berputus asa 1400 tahun dahulu, pastilah islam itu tidak akan berkembang sehingga ke hari ini..

Dan paling penting..
Kasih sayang baginda yang tidak berbelah bahagi terhadap umatnya
mengasihi sebelum mengenali, 
Hadis yang mana rasulullah memberitahu sahabat baginda bahawa beliau merindukan saudara-saudaranya, dan bila sahabat bertanya, siapa saudara tu, nabi jawab..
mereka yang tidak pernah bertemu dengan beliau tetapi sangat merindui baginda dan bersungguh-sungguh melakukan sunnah baginda. Allahu Allah..

hadis tu selalu buat bergenang air mata
moga-moga salah seorang yang baginda maksudkan itu adalah diri yang marhaen ini...



Ya Rasulullah..
Aku rindu..
Moga daku bisa bertemu mu satu hari nanti! 







Wednesday, July 10, 2013

Andai ada yang sudi..


Bismillah..




Sudilah kiranya..
Andai ada yang sudi 
Menitipkan pesan buat tuan empunya blog ini..

Buat hati untuk bermuhasabah
Buat diri untuk terus mencari makna
Apakah erti sebuah kehidupan ini..

Kerana diri selalu percaya
Yang melihat dan mengenal kadang tahu, apa yang diri tidak tahu
Dan kalaupun ada yang tidak mengenal, diri ini sungguh percaya
Allah jugalah yang menitipkan tiap baris kata..

Dan akhirnya..
Pesanan darimu adalah sebenarnya pesan dari Dia.. :')

Jazakumullah khairan kathira,
Afni Natasya






Friday, July 05, 2013

Kenangan yang kasihan 1





"Assalamualaikum. tiket ke Midvalley, satu", ujarku ringkas.
Lama.
Sudah lama aku tak bertandang ke tampat itu.
Fikiran lantas melayang teringatkan cerita dahulu.
Alangkah kasihan.
Masa yang terbuang di Mid itu.
Kerna aku bukanlah gadis yang gemar berpeleseran
tetapi tempat itu ku kira penuh kenangan
kenangan yang kasihan sekali
pada jiwa muda yang kosong
yang tercari-cari makna kebahagiaan

Lupakan
Itu sudah lama..

Next train
13:36


Ada wanita berskirt hitam di hadapanku
Aku senyum tetapi terasa kelat sekali
Entah kenapa, ada kegusaran di jiwa
Sedetik. dia membalas
Hatiku kembali berbunga..

"Tunggu seseorang?" wahh..nyata dia terlebih dahulu menyapa saat duduk disebelahku
"Oh..tak lah, sorang je," balasku sambil tersenyum.

Ah.masih terasa kelat.
Melihat wajahnya seakan mengingtkan ku pada sesuatu..

Di mana eh aku nampak dia ni?
Arghh..cepatlah ingat!



***

nantilahsambung~~~




Wednesday, June 19, 2013

Biar kematian tidak sia-sia






Bismillah..

Akhawat yang saya kenali

Selalu membuatkan diri ini bermuhasabah
Alangkah jauhnya diri ini berbanding mereka
Tumuhat mereka pada dakwah dan tarbiyyah
Pengorbanan mereka pada menyantuni jiwa-jiwa yang dahaga
Sabar mereka pada ujian yang menimpa
Segalanya adalah ajaib..

*****

Semalam
Saya bertemu dengan akhawat yang saya kasihi
Moga Allah balasinya dengan syurga yang tinggi kerna kesabarannya atas ujian yang menimpa
Ujian yang saya kira antara hidup dan matinya
Tapi Alhamdulillah kerana Allah masih memberi kesempatan 
Buat dia untuk bermuhasabah, buat saya untuk mengambil ibrah..

Saat bercerita dia bergenang air mata
Bukan kerana menyesali takdir yang menimpa diri
Tetapi kerana rasa kesyukuran yang tidak terhingga
merasa diri masih diberi peluang kali kedua
Bukan untuk berlari mencari duit buat menggantikan harta yang Allah tarik darinya
Tetapi untuk terus berlari lebih laju dalam gerabak dakwah dan tarbiyyah ini..

Kata-kata yang keluar dari bibirnya hanyalah kesyukuran
Betapa dia merasa Allah sedang mentarbiyyah dirinya
Menegur diri agar lebih kuat berusaha
Agar kematian yang datang nanti bukan kematian yang sia-sia..

Saat itu dada saya sungguh terasa sesak
Kisahnya Allah ceritakan pada saya jua, agar telinga yang mendengar ini juga lebih terasa
Dan kata-katanya terus terngiang-ngiang di telinga..

"Buat dakwah sungguh-sungguh
Biar nanti punya cerita bila Allah tanya
Biar nanti tak mati sia-sia!"


Thursday, June 06, 2013

Awak mengandung ke?



maaf Dr,tak mungkin dia mengandung..


Pelakon: Seorang Perempuan Muda dan Seorang Dr Lelaki

"Sebulan kebelakangan ni saya asyik rasa loya dan mual-mual je Dr.." katanya sambil membetulkan duduk. Ah..tekak perempuan itu terasa mual lagi.
"Oh..selalu rasa macam nak muntah-muntah la ni?"
"Ha a.. setiap kali lepas makan selalu rasa macam tu.."
"Awak mengandung ke?" tanya Dr lagi
"Ha? Saya kahwin pun tak lagi Dr.." merah padam muka perempuan tu. Kalau mengandung tidaklah bersusah payah datang klinik ni sebab nak tanya apa masalahnya.

"Bukan apa.. zaman sekarang ni selalu sangat dah kes macam ni. Nanti tanya mengandung tak mengaku, padahal dah tahu je. Saya tanya ni bukan apa, kalau mengandung cakap terus, senang saya nak bagi ubat apa.." sinis sekali bunyinya.
Perempuan itu terus tak terkata. Telinganya terasa panas. Rasa macam nak lari keluar dari bilik itu sahaja.

Aduhai jahiliyyah..
Bau busukmu tak mengenal sesiapa

Bak kata si Dr..
"Zaman sekarang ni susah nak berbaik sangka dik. walaupun dengan perempuan yang berjubah dan bertudung labuh macam kamu!"


***

Perempuan itu terasa seperti mahu menangis
Bukan menangis kerana disangka mengandung tanpa bapa
tetapi kerana memikirkan
Aduhai, masih terlalu banyak kerjaa!






Wednesday, June 05, 2013

Nikmat yang dilupakan


Bismillah..

Ada kawan saya
Tiba- tiba dengar perkhabaran bahawa dia sedang sakit,
walhal saya melihatnya baik-baik sahaja
Dan hari ni Allah mahu menambahkan dia pahala, keputusan ujian penyakit yang keluar bukan penyakit yang biasa-biasa
Saya terkesima..
Allahu Rabbi.. dia masih muda..

Ada akhawat yang saya cinta
Mengkhabarkan tentang keadaan ibunya
Yang saya kira hanya sakit-sakit biasa, sementelah saya jua hanya pernah bersua beberapa kali sahaja
Tidaklah di sangka bahawa ibunya sedang menderita sakit

Dan akhawat itupun bercerita sambil bergenang air mata
Saya ternganga
Ibunya tampak lembut dan penuh kasih
Seakan tidak terbayang kesakitan yang ' menukar' dirinya
diuji tuhan dengan sakit yang bukan calang-calang juga
Allahu Rabbi.. ibunya juga masih muda..

Alangkah.. usia itu tidak membawa erti apa-apa

Usia yang muda bukan bererti tidak layak menerima ujian kesakitan yang lebih tinggi
Dan pastilah nikmat kesihatan itu sangat jauh untuk ditukar ganti walau dengan seisi langit dan bumi..

Saya..

tidak pernah sekali pun terlantar sakit di hospital
sedangkan ada di sana, sedari kecil lagi kehidupan mereka adalah dengan hospital
bertemankan ubat-ubatan dan wayar-wayar yang berselirat di badan
Dan mereka terus tabah menguntum senyuman..

Dan malam ini saya bermuhasabah

Alangkah besarnya nikmat itu!




*Jaga kesihatan ya.. 



Monday, June 03, 2013

Jalan Bahagia




Bukan intan permata
Bukan paras rupa
Pandangan Tuhan pada manusia
Beriman dan bertaqwa berakhlak mulia
Disisi Tuhan itu yang utama
Siapa yang berbakti dengan ketabahan
Sabar menempuh ketentuan Tuhan
Baginya syafaat dunia akhirat
Kurnia Tuhan tidak terkira..

Di dalam menjalani hidup didunia
Tiada lepas dari pancaroba
Kita yang diciptakan dengan kelemahan
Perlukan petunjuk panduan Tuhan
Tiada yang kuasa melainkan Dia
Mentakdir menentukan segalanya
Supaya selamat dunia akhirat
Tekun pada amal ibadah..

Oh.. Tuhan yang Esa
Pada-Mu kami panjatkan doa
Moga dipeliharakan ditetapkan iman
Dunia ini penuh cabaran
Oh Tuhan yang Esa
Untuk-Mu kami tempuh segala
Pandanglah dengan rahmat-Mu
Pandangan kasih-Mu
Pimpinlah kami jalan bahagia
Selamanya ..

***

Nostalgianye la nasyid ni ;)


Sunday, June 02, 2013

Sebenarnya..






Bismillah..

Sebenarnya..

***

Esok saya start final exam yang kedua terakhir kat utm ni.. :)

Mohon doanya.
Moga tidak menjadi fitnah buat agama
Moga menjadi kebanggaan ibu dan bapa
Dan paling penting..
Moga segalanya adalah untuk Allah semata-mata..

***

Saya benar-benar nak menghabiskan baki-baki semestar yang tinggal ni dengan hati yang gembira
Nak tengok adik-adik membesar dalam naungan cinta dakwah dan tarbiyah

Mahu ada saham yang tinggal biarpun jasad tak ada lagi kat utm ni nanti

Itu kejayaan yang saya mahu sebenarnya
Dan exam-exam ni hanyalah salah satu hentian yang perlu saya lalui dalam perjalanan tarbiyah di UTM ni
Hanya sekadar hentian, bukan titik noktah kehidupan..

***

Saya cemburu
Pada dia yang tetap dalam kesabaran
Pada dia yang tsabat dalam ketaatan
Saya cemburu
Sangat.

***

Dalam hidup saya ada beberapa orang lelaki yang selalu ada dalam doa saya
Ada Ayah..
Ada abang long naufal dan si comel thaqif..

Dan the only adik lelaki..
Esok hari jadi dia
Sanah helwah dear IN!










Wednesday, May 29, 2013

Jalan Tapisan


Bismillah..




Dalam jalan dakwah dan tarbiyah ini wahai ukhti
Selalulah perbaiki niat kita sentiasa
Biar Allah tetap mengatur langkah kaki-kaki kita
Sentiasa dalam kebenaran dan rahmat kasih sayangNya..

Wahai ukhti..
Dakwah ini bukan menang kerana kita
Bahkan yang berjaya itu adalah kita kerana memilihnya..

Allahumma Ameen! Ameen! Ameen! 





Tuesday, May 21, 2013

Keep Calm, I'm a psychology student


Bismillah..

Dalam hidup ni dear
Tak ada apa yang memerlukan kita untuk tidak sabar..
Nak buat esaimen kena sabar nak siapkan, nak beli barang kat kedai kena sabar nak beratur.. 

even nak makan pun kena sabar, ye la.. sabar nak berjalan kaki pergi beli makan dalam panas terik, nak beratur lagi, dah tu.. patah balik kolej. Dah tak sabar dah ni nak makan, tapi nak kena naik lif dulu, dah terserempak dengan kawan kena salam-salam dulu.. fuhh.. kan ke panjang perjalanan untuk bersabar supaya dapat makan tu..

And yet, tu contoh keciiikkk saje
MAKAN
ada banyak lagi perkara lebih besar..

Nak buat dakwah kena sabar

sabar dengan mutarabbi, layan kerenah seorang-seorang, pergi dakwah fardiyah bilik ke bilik..
dan semuanya memerlukan sabar
kalau tak sabar, dah lama kita tinggalkan mad'u kita tu, hanya dengan alasan KITA TAK SABAR
(eleh.padahal kita ni dulu pun kakak-kakak DF dengan susah payah juga)


Bahkan dalam dakwah ni berkali ganda kesabaran yang kita perlukan lagi
Kalau tak sabar, bila orang cakap kita ni poyo cakap islam even tak-la-solehah-sangat-pun
Kita dah melenting, pasai pa? Pasal tak sabar..

Nanti kalau dah buat kerja dakwah ni pun, dengar orang sok sek sok sek kat belakang pun satu hal lagi

Mungkin kalau tak sabar rasa macam nak fire je orang tu balik
Tapi, lepas tu dapat apa? kena lah SABAR..

Nak gagahkan diri pergi program tarbiyah pun kena sabar juga
Waktu-waktu tak kritikal ok la, semua on je

tiba-tiba..
Ohoi, usrah ni buat time esok nak kena hantar asignment super critical pulak dah
Dah la tak siap lagi, syaitan pulak duk cucuk supaya malas nak pergi
Dah tu.. tak kan biar syaitan menang?
Kena la sabar kuatkan diri, datang usrah berkerut-kerut dahi

Tapi.. SABARRR..

Dan benda-benda yang memerlukan sabar ni akan tetap datang lagi
Lepas satu-satu..
Aih, tak sabar-sabar nak habiskan degree ni.
Lepas tu kena sabar nak habiskan master pulak.
Dah mampu bersabar untuk master, nak kena sabar buat research untuk phD pulak..
ok, dah belajar tahap paling tinggi da tu, aihhh.. kena sabar kerja pulak... 
and benda tu akan terus berlaku.. Zzzz

So, apakah kesimpulannye dear?

Ingatilah pesan Saidina Umar ni
"Kami dapati seindah-indah hidup kami adalah di dalam kesabaran.."


Indeed.
Kita tak perlu rosakkan kebahagiaan hidup kita dengan hanya kerana kita tak sabar
Tapi jadikan semuaaanya dalam hidup kita satu keindahan kerana kita mampu bersabar.. 

Sabar.
Dan kuatkanlah kesabaran itu.
Percayalah, kamu mampu..

***************************************************************

Dear myself,
Keep calm, I'm psychology student Ana abdullahi, walan yudhia'ni..
Daku hamba Allah, Dia tidak akan mengecewakanku..