Pages

Friday, June 19, 2015

Menjadi Diri Sendiri Di Jalan Dakwah




Bismillah..

Selalu sangat orang sebut, 'jadilah diri sendiri', 'just be yourself' dan macam-macam lagi lah yang sama erti dengannya.

Selalu, yang menggunakan kata-kata ini biasanya untuk memenangkan diri sendiri atau memberitahu orang lain bahawa 'aku dengan cara aku, engkau dengan cara engkau'. Tetapi, buat mereka yang menapaki jalan dakwah dan tarbiyah, adakah kata-kata ini wajar di jadikan alasan untuk memenangkan prinsip diri?

Saya teringat kisah Wahsyi, saat dia berjaya membunuh Saidina Hamzah r.a di medan Uhud, dia di bebaskan oleh Hindun sebagai balasan atas kejayaannya membunuh Hamzah. Wahsyi gembira bukan kepalang, impiannya selama ini menjadi kenyataan. Dia sudah bebas. Dia bukanlah seorang Hamba lagi. Lantas hari pertama itu dia menukar pakaiannya, supaya kelihatan sama seperti penduduk Mekah yang lain, dia bergegas ke tempat perkumpulan ketua-ketua musyrikin Mekah saat itu untuk menampakkan dirinya sebagai seorang pahlawan yang sudah berjaya membunuh Saidina Hamzah. Wahsyi mengimpikan dirinya diangkat seperti wira, namun apa yang dia temukan? Nyata ketua-ketua Quraisy itu masih menganggapnya seperti seorang budak, kata-katanya tidak langsung di dengari. Dia tidak mampu menjadi dirinya sendiri sebagai seorang yang merdeka. Dia masih dipandang sebagai seorang hamba. 

Di sisi yang lain, kita menemukan Bilal bin Rabah r.a. Dahulu dia juga seorang hamba seperti Wahsyi, namun cerita keduanya jauh berbeza. Bilal 'merdeka' dengan mahar keislaman, dan dengan itu dia diangkat mulia sebaris dengan nama-nama besar kota Mekah seperti Abu Bakar r.a, Musab bin Umair r.a, Uthman bin Affan r.a dan ramai lagi. Kesemua mereka mencintai Bilal, tanpa ada sedikitpun perasaan merasa lebih baik dari dia yang dahulunya seorang hamba. 
Jika tidak, masakan kita bertemu kisah Abu Dzar yang sanggup meminta Bilal memijak kepalanya hanya kerana gurauannya yang memanggil Bilal dengan nama anak si budak hitam?

Allah Redha Kepada Mereka..

Di jalan dakwah dan tarbiyah ini,
Kita menemukan para sahabat terdahulu yang tidak memilih untuk menjadi diri mereka sendiri,
Jikalau lah Abu Bakar, Umar, Utsman, itu semua memilih untuk menjadi diri mereka, nescaya mereka tidak akan mahu berdiri bersebelahan dengan si budak hitam seperti Bilal. Kerana apalah yang ada pada seorang hamba jika di bandingkan dengan status mereka sebagai orang kenamaan di kota Mekah saat itu.

Tetapi para sahabat ketika itu semua tahu, bahawa cahaya islam yang datang mahu membersihkan diri mereka daripada jahiliyah selama ini, lantas mereka merendahkan diri mereka serendah-rendahkan untuk dibasuh dengan limpahan iman dan tarbiyah. Mereka tidak memilih untuk menjadi apa yang mereka suka, tetapi mereka memilih untuk menjadi seperti apa yang Allah mahu dari mereka. Dan kerna itulah kita mengenang mereka hari ini sebagai generasi Al-Quran yang unik, generasi terbaik yang tidak akan kita temukan lagi di perjalanan sejarah kehidupan dunia. 

Betapa saya takjub dengan kisah antara Khalid Al-Walid r.a dan Umar Al-Khattab r.a, ketika Umar melucutkan jawatan panglima perang yang dipangku Khalid untuk diganti dengan Abu Ubaidah r.a, Khalid Al-Walid menerima berita itu dengan lapang dada bahkan tetap bersemangat dan melaju di medan perang dengan mengatakan bahawa apa yang dilakukannya hanyalah untuk Allah semata-mata. Dan Umar sendiri jauh di sudut hati memberitahu bahawa beliau sama sekali tidak ragu-ragu akan kehebatan Khalid tetapi membuat keputusan itu untuk kebaikan kaum muslimin seluruhnya. 
Keduanya membuktikan bahawa cahaya Allah itu benar-benar sudah meresap ke dalam ruh dan jiwa mereka. Mereka adalah antara sahabat yang paling tegas dengan prinsip dan keputusan mereka, namun mereka berjaya menunjukkan teladan yang jauh lebih hebat dengan menunjukkan bahawa celupan Allah itulah yang akhirnya membentuk peribadi dan prinsip mereka selama ini.

Dan kita,
Di jalan dakwah dan tarbiyah ini,
Kita juga mengimpikan perkara yang sama,
Agar celupan iman dan tarbiyah ini akhirnya mampu menjadikan kita manusia yang sama seperti mereka, mereka yang di akhir namanya kita sebutkan dengan 'radhiallahu anhu' yang bermaksud 'Semoga Allah redha padanya'.. 

Allah redha kepada mereka,
Kerna mereka hidup dengan sibghah Allah..
Sehingga akhirnya walau siapa dan apa sahaja latar belakang para sahabat itu, kita akhirnya tetap akan menemukan suatu persamaan yang didasari oleh aqidah yang mantap kepada Allah swt..

Buat diri sendiri dan sesiapa saja yang membaca,
Ingatlah, biar siapapun kita di saat jahiliyah,
Marilah kita buktikan bahawa kita bukan lagi mahu menjadi diri kita sendiri, bahkan yang kita mahu itu adalah agar Allah redha kepada kita dengan menjadi apa yang Allah mahu kita jadi! 

صبغة الله ۖ ومن أحسن من الله صبغة ۖ ونحن له عابدون

"Shibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya dari pada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah."

[Quran 2:138]




0 orang yang dikasihi Allah..:

Post a Comment